Pertandingan Mencipta Logo 5S Induk dan Zon PKU 19/02/2016

Pada 19 Febuari 2016, buat pertama kalinya, Pusat Kesihatan UTeM telah menganjurkan majlis anugerah pertandingan mencipta logo 5S Induk dan Zon di antara staf selari dengan aktiviti unit promosi Amalan 5S. Objektif pertandingan ini adalah untuk memupuk semangat kerjasama di antara staf, melahirkan idea kreatif dan grafik dan menggalakkan penglibatan aktiviti berkaitan Amalan 5S.
Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori. Kategori yang pertama adalah pertandingan mencipta logo Zon 5S yang dimulakan terlebih dahulu pada 18 Januari sehingga 24 Januari 2016. Manakala itu pertandingan mencipta logo induk 5S pula telah diwar-warkan kepada staf bermula daripada 1 Febuari 2016 sehingga 7 Febuari 2016. Di dalam pertandingan ini, setiap zon perlu menghantar satu atau lebih ciptaan logo bagi kedua-dua kategori. Setiap ciptaan logo perlu mematuhi 5 skema pemarkahan yang telah ditetapkan oleh panel penganjur iaitu keaslian, warna, ciri-ciri berkaitan Amalan 5S, kreativiti dan persembahan.
Sepanjang pertandingan logo berlansung, setiap staf begitu semangat memikirkan idea logo yang menarik untuk dilukiskan dalam bentuk grafik. Selain itu mereka juga saling bekerjasama berbincang corak persembahan yang perlu dilakukan semasa majlis anugerah mencipta logo 5S induk dan zon.
Apabila tiba saat yang dinantikan, iaitu pada 19 Febuari 2016, bertempat di Bilik Mesyuarat PKU UTeM, pada pukul 9.00 pagi, satu majlis anugerah telah berjalan dengan lancar, meriah dan menarik. Persiapan majlis sangat teratur telah dilaksanakan oleh semua staf di Zon 1 (Khwarizmi). Pengerusi majlis yang dipilih adalah Pn Nor Anidah bte Ab Karim. Beliau mengendalikan kelancaran majlis dengan penuh semangat dan teratur. Majlis itu dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu Negaraku dan UTeM Terbilang, ucapan Pengerusi Amalan 5S PKU Dr Noor Rafiddah, ucapan Ketua Penyelaras Amalan 5S PKU Dr Suriya, persembahan mencipta logo zon dan induk secara ‘power point’ oleh wakil setiap zon, sesi pengiraan markah, penyampaian hadiah kepada pemenang, jamuan makan dan bersurai.
Hasil keputusan pertandingan mencipta logo induk dan zon Amalan 5S telah dibuat berdasarkan pemarkahan secara keseluruhan. Bagi kategori mencipta logo zon Amalan 5S, tempat pertama dimenangi oleh Zon Al-Razi, tempat kedua Zon Al- Farabi dan  tempat ketiga Zon Al- Khwarizmi. Manakala bagi kategori mencipta logo induk Amalan 5S, tempat pertama dimenangi oleh Zon Al-Razi, tempat kedua zon Al-Khwarizmi dan tempat ketiga zon Al-Farabi.

Diakhir majlis tersebut kami telah mengadakan sesi bergambar di antara zon-zon. Majlis berakhir dengan meriah sekali pada pukul 1.00 tengahari.


Comments